Friday, December 27, 2013

Gempak :Terbang 700km cari pakar anak kembar

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri terbang sejauh 700 kilometer untuk menyambut dua anak kembar mereka yang mengalami masalah pramatang.

Bakal bapa berkenaan, Khoo Ken Lian, 30, berkata, dia dan isterinya, Chai Mi Chin, 30, terpaksa membuat penerbangan menggunakan helikopter Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Penerbangan itu terpaksa dilakukan berikutan kekurangan doktor pakar yang boleh menjalankan pembedahan untuk kes kelahiran anak lelaki kembar mereka.



"Kandungan isteri mempunyai masalah tekanan darah. Kami terpaksa melakukan penerbangan ke HSNZ kerana ia adalah lokasi paling hampir selain mempunyai doktor pakar," katanya yang ditemui di HSNZ, di sini.

Khoo berkata, pada mulanya dia gembira apabila dimaklumkan akan menimang anak kembar, namun mula risau apabila mendapati kandungan isterinya mengalami masalah.


"Doktor terpaksa menjalankan proses kelahiran pada Isnin ini sama ada dijalankan secara normal mahupun pembedahan kerana kandungan isteri baru saja berusia 28 minggu.

"Saya berharap proses kelahiran dapat dijalankan dengan selamat dan kedua-dua anak saya ini dilahirkan dalam keadaan sihat.

"Saya berterima kasih kepada Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang yang sudi melaksanakan penerbangan ehsan untuk menghantar isteri saya yang terpaksa dipindahkan ke HSNZ untuk bersalin," kata peniaga barang mainan itu.

Sementara itu, Pegawai Kanan Penguasa Bomba II JBPM Subang, Faridullah Amin Mohd Nor berkata, penerbangan ehsan itu bermula jam 2.30 petang dan selamat mendarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, selepas dua jam penerbangan.

"Unit Udara JBPM Subang berjaya menghantar Chai Mi Chin yang ingin bersalin anak kembar dari PPUM ke HSNZ melalui penerbangan ehsan tepat jam 4.30 petang tadi (semalam).

"Syukurlah mereka selamat didaratkan dan segera dihantar ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan," katanya yang ditemui di IPK, di sini, semalam. - Harian Metro

0 comments:

Post a Comment