Friday, December 27, 2013

Terbaru :Air mata Mike Tyson di Taman Raudhah

"ANGKAT kotak tu!" jerkah sekumpulan remaja lelaki.

Kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun akur mengikut arahan. Setiap anak tangga dipijak dengan berat hati. Tiba di atas bumbung bangunan kosong itu, baru dia sedar terdapat burung merpati di dalam kotak itu. Timbul rasa kagum terhadap haiwan berbulu putih dan terus menyukainya.

Tapi seorang daripada mereka mengambil merpati itu dan mematahkan lehernya sehingga ia terkulai mati. Bukan itu sahaja, dia juga menerima tumbukan bersama merpati itu pada mukanya.

Bagaikan harimau yang sedang tidur dikejutkan, kanak-kanak itu Mike Tyson atau nama sebenarnya Michael Gerard sudah tidak tahan dibuli anak jiran yang nakal itu, lalu memukul pembulinya berkali-kali. Sejak itu, sikap Tyson yang pendiam dan pemalu, berubah menjadi berani dan liar untuk sesuaikan diri kehidupan sosial di Brooklyn, kawasan yang baru dia sekeluarga berpindah.


Kenakalan Mike Tyson ketika zaman kanak-kanaknya yang juga dipengaruhi faktor keluarga kurang stabil menyebabkan dia keluar masuk penjara juvana. Pelatih tinju terkenal, Cus D'Amato tertarik dengan bakat Mike Tyson untuk dilatih menjadi peninju profesional. Pada 6 Mac 1985, beliau bertanding secara profesional di Albany, New York dan menang pada setiap pusingan pertama bagi 16 perlawanan.

Tanggal 22 November 1986, Tyson berusia 20 tahun meraih gelaran juara kelas berat apabila dapat menjatuhkan pihak lawannya, Trevor Berbick. Ini menjadikan beliau sebagai juara dunia berat termuda di dunia.

Kerjaya Tyson terjejas apabila dibabitkan dengan kes jenayah seksual terhadap peserta Miss Black America 1991, Desiree Washington pada 10 Februari. Beliau dijatuhkan hukuman dipenjarakan selama tiga tahun.

Belajar Islam di penjara

Berita Tyson dimasukkan penjara di Indiana menjadi tumpuan umum. Tatkala itu terdetik di hati sukarelawan, Muhammed Sadiq berkata, 'mungkin ALLAH dah rancang untuk Tyson belajar dengannya tentang Islam'.

Muhammed pernah memberi nasihat yang berbekas di hati Tyson: "Walaupun anda di dalam penjara, tetapi dunia di luar sana adalah penjara yang sebenar. Ia adalah mudah mengamalkan Islam di dalam penjara berbanding di dunia yang penuh dugaan dan godaan, mampu membelenggu kita yakni perlu mencari perlindungan melalui Islam."

Bagi Tyson, masuk penjara tidaklah seburuk disangka. Malah beliau dapat mengenali Islam, belajar al-Quran. berpuasa ketika Ramadan, mempelajari agama itu lebih mendalam serta mengamalkannya di sana.

Selepas keluar penjara pada 1995, Tyson mengumumkan keislamannya yang dipelajari selama di penjara dan nama barunya, Malik Abdul Aziz. Selepas menjadi Muslim, Tayson dilihat lebih lebih tenang, bersederhana dan menghormati.

Pada November 1996, beliau kembali beraksi di gelanggang tetapi dikalahkan Evander Holyfield. Insiden Tyson menggigit telinga Holyfield pada pertarungan Jun 1997 menyebabkan beliau didenda sebanyak RM9.9 juta. Kehidupan Tyson diuji lagi apabila mengalami bankrap dan kariernya semakin malap sehingga memaksanya untuk bersara pada 2005.

Pada 2 Julai 2010, menjadi detik bersejarah buat Tyson apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah yang diatur CDA, dengan ditemani presidennya, Shazad Mohammad. Pada masa sama kehadiran beliau turut menjadi tarikan pengunjung di sana. Beliau berharap peminat membiarkannya bersendirian untuk menjalani ibadah dengan penuh penghayatan.

Doa setiap hari

Bertubuh gagah, berwajah serius dan tangkas di gelanggang, tetapi bila Tyson dengan hanya berpakaian ihram di berada di Taman Raudah, Masjid Nabawi Madinah, hatinya mula meruntun. Selepas 10 tahun memeluk Islam, barulah beliau menjadi tetamu ALLAH.

"Saya tidak dapat menahan air mata apabila mendapat tahu saya berada di dalam satu daripada taman syurga.

"Insya-ALLAH, ALLAH akan merahmati saya untuk berada di jalan yang benar," katanya yang berada di Taman Raudhah beberapa jam untuk bersolat, mengaji al-Quran dan berzikir.

Beliau akui sangat takutkan ALLAH kerana banyak kesalahan dalam hidup dan mengenangkan neraka kerana dosanya. Oleh itu beliau berdoa memohon ampunan ALLAH setiap hari.

Menurut Shahzad, Tyson menangis lebih setengah jam ketika berdiri di depan makam Rasullah SAW untuk mengucapkan salam sambil mengangkat tangan.

Di Tanah Suci, Tyson turut terpesona dengan kawanan merpati dan sempat memberi makan kepada haiwan kesukaannya itu. Ini mengimbas kenangan ketika usianya 10 tahun, sanggup mencuri wang untuk membeli merpati menjadi peliharaannya.

Tyson mempunyai lapan anak melalui tiga perkahwinan. Anak perempuannya, Exodus, 4, meninggal dunia pada 2009. Kini Tyson menjalani kehidupan berkeluarga bersama isterinya, Lakiha Spicer, dan anak-anaknya di Las Vegas.

"Saya kini gembira bersama keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana lagi. Setiap hari saya menunggu anak pulang dari sekolah," katanya. --Sinar Harian

Artis : Pengurus nafi Neelofa ditangkap khalwat

KUALA LUMPUR – Pengurus pelakon popular, Noor Neelofa Mohd. Noor, Mohd. Amer Shafiq Khalip menafikan sekeras-kerasnya tentang berita pelakon berkenaan telah ditangkap khalwat malam kelmarin.


Amer berkata, pada malam pelakon tersebut dikatakan ditangkap khalwat, dia menemani Neelofa hadir ke majlis pelancaran Galaxy Mobile App di sebuah restoran terkemuka di Kuala Lumpur. -Kosmo

Gossip Artis terkini : Linda Onn selamat bernikah

AMPANG JAYA – Penyampai radio Suria FM, Linda Onn enggan memberikan kerjasama kepada petugas media ketika majlis pernikahannya yang berlangsung di kediaman keluarganya di Setiahills, Ampang di sini petang semalam.


Majlis pernikahan Linda atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, 36, dan pasangannya dipercayai selamat dilangsungkan selepas solat Asar petang semalam dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.

Wartawan Kosmo! yang berkunjung ke kediamannya tidak dibenarkan merakam sebarang visual berbentuk foto mahupun video. -Kosmo

Artis Terkini :Stacy Terbuka Hati Untuk Peluk Islam

PETALING JAYA: Penyanyi Stacy memberitahu hatinya telah terbuka untuk memeluk agama Islam tanpa bantahan keluarga.

Stacy atau nama sebenarnya, Stracie Angie Anam, 23, berkata, perasaan itu timbul tanpa paksaan mana-mana pihak dan mengakui ajaran Islam mudah difahami selain pergaulannya lebih banyak di kalangan mereka yang menganut agama berkenaan.

"Dulu semasa di kampung pergaulan saya terhad dan komuniti di sana kebanyakannya penganut Kristian dan apabila berpindah ke Kuala Lumpur saya lebih banyak didedahkan dengan masyarakat Islam.

“Dari situlah hati saya terbuka untuk mengetahui mengenai agama ini,” katanya selepas pelancaran single berjudul Hello duet bersama kumpulan SM*SH yang diadakan di Auditorium Bently Music di sini, Jumaat.


Turut hadir Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Darren Choy.Stacy yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, hasrat memeluk Islam tidak langsung didorong oleh penyanyi Akim Ahmad yang dikaitkan sebagai kekasihnya ketika ini ataupun semata-mata mahu berkahwin dengan pemuda itu.

Bagaimanapun dia tidak menafikan Akim banyak mengajar dan memberi kefahaman tentang Islam setiap kali mereka berjumpa.

"Soal agama bukan perkara main-main dan saya sangat menghormati agama lain termasuk Islam dan sebab itu jika saya ingin menjadi seorang Muslim bukan hanya kerana cinta atau mahu berkahwin dengan seseorang sebaliknya ia perlu datang dari hati yang ikhlas," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai kolaborasinya dengan kumpulan SM*SH dari Indonesia Stacy berkata, ia adalah peluang cukup besar untuk dia memperkenalkan namanya di negara itu.

Jelas Stacy, pengaruh kumpulan itu sangat kuat selain mempunyai pengikut yang cukup ramai di Indonesia dan Malaysia.

"Bayangkan pengikut Facebook saya sudah mencecah satu juta sejak lagu kami dilancarkan dan pengikut baharu itu rata-rata dari Indonesia.

"Saya melihat ia satu perkembangan baik untuk kerjaya saya dan bertuah dapat melakukan kolaborasi dengan mereka," katanya.

Pada majlis tersebut, Stacy dan SM*SH turut menyampaikan beberapa buah lagu termasuklah lagu duet mereka iaitu Hello di hadapan 100 peminat. - Mstar

Saya Bukan Wanita Bodoh Dalam Cinta - Lana Nordin

PETALING JAYA: Tidak habis-habis lagi isu berkenaan Lana Nordin dan Johan As’asri. Kali ini pelakon wanita itu menegaskan dia bukan seorang wanita bodoh yang senang dipermainkan oleh lelaki dalam soal cinta.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Haan Nordin, 34, sebaliknya berkata, dia menghadapi situasi putus cinta dengan pelakon Johan As'ari dengan bijak dan matang.

"Saya tidak pernah berasa seperti wanita bodoh dengan apa yang telah berlaku di antara saya dengan Johan kerana saya sebenarnya bijak dalam menghadapi situasi seperti ini.


"Jujurnya saya tenang tambahan pula usia saya pun telah menjangkau 34 tahun dan banyak pengalaman tentang cinta sudah saya tempuh. Saya dah tahu apa patut dilakukan untuk mempertahankan diri sendiri," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Menerusi sebuah laporan akhbar pada 29 November lalu, Johan yang sebelum ini dianggap menjalinkan hubungan mesra dengan penyanyi Shila Amzah dilaporkan telah melamar Lana untuk dijadikan sebagai isterinya selepas tiga hari berjumpa.

Pasangan itu bertemu ketika menjayakan sebuah program pada 18 Oktober lalu dan tiga hari kemudian, Johan terus meluahkan hasrat untuk memperisterikan aktres seksi itu kerana percaya Lana adalah jodohnya selepas memohon petunjuk Allah ketika mengerjakan umrah pada April lalu.

Bagaimanapun Johan menerusi kenyataannya di sebuah akhbar pada Rabu lalu mengumumkan perpisahan cinta mereka selepas sebulan berkasih berikutan tidak direstui keluarganya.

Sementara itu, mengulas mengenai komen ahli keluarga Johan yang tidak menghalang mereka bercinta, Lana berkata, dia tidak mahu mengulas perkara itu kerana merasakan pada tahap ini campur tangan keluarga tidak sepatutnya berlaku.

Jelas Lana, sebagai lelaki dewasa, Johan sepatutnya lebih matang dan mampu menguruskan hal peribadinya tanpa campur tangan pihak keluarga.

"Jika anda perhatikan tiada seorang ahli keluarga saya tampil untuk campur tangan atau melatah mengenai isu ini kerana ia tidak penting pada mereka tetapi berlainan pula dengan Johan yang seolah-olah 'menghantar' ahli keluarga untuk menyelesaikan masalah.

"Lelaki dengan sikap itu bukan yang saya cari kerana hendak membuat keputusan juga tidak mampu apatah lagi untuk membimbing saya pada masa hadapan. Kejadian yang berlaku ini ada hikmahnya tersendiri," ujarnya. - Mstar

Gempak :Terbang 700km cari pakar anak kembar

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri terbang sejauh 700 kilometer untuk menyambut dua anak kembar mereka yang mengalami masalah pramatang.

Bakal bapa berkenaan, Khoo Ken Lian, 30, berkata, dia dan isterinya, Chai Mi Chin, 30, terpaksa membuat penerbangan menggunakan helikopter Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Penerbangan itu terpaksa dilakukan berikutan kekurangan doktor pakar yang boleh menjalankan pembedahan untuk kes kelahiran anak lelaki kembar mereka.



"Kandungan isteri mempunyai masalah tekanan darah. Kami terpaksa melakukan penerbangan ke HSNZ kerana ia adalah lokasi paling hampir selain mempunyai doktor pakar," katanya yang ditemui di HSNZ, di sini.

Khoo berkata, pada mulanya dia gembira apabila dimaklumkan akan menimang anak kembar, namun mula risau apabila mendapati kandungan isterinya mengalami masalah.


"Doktor terpaksa menjalankan proses kelahiran pada Isnin ini sama ada dijalankan secara normal mahupun pembedahan kerana kandungan isteri baru saja berusia 28 minggu.

"Saya berharap proses kelahiran dapat dijalankan dengan selamat dan kedua-dua anak saya ini dilahirkan dalam keadaan sihat.

"Saya berterima kasih kepada Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang yang sudi melaksanakan penerbangan ehsan untuk menghantar isteri saya yang terpaksa dipindahkan ke HSNZ untuk bersalin," kata peniaga barang mainan itu.

Sementara itu, Pegawai Kanan Penguasa Bomba II JBPM Subang, Faridullah Amin Mohd Nor berkata, penerbangan ehsan itu bermula jam 2.30 petang dan selamat mendarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, selepas dua jam penerbangan.

"Unit Udara JBPM Subang berjaya menghantar Chai Mi Chin yang ingin bersalin anak kembar dari PPUM ke HSNZ melalui penerbangan ehsan tepat jam 4.30 petang tadi (semalam).

"Syukurlah mereka selamat didaratkan dan segera dihantar ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan," katanya yang ditemui di IPK, di sini, semalam. - Harian Metro

Artis : Fizo Omar dan isteri jamu `Hot Burger'

Fizo dan isteri jamu `Hot Burger' buat tetamu mereka di majlis menyambut menantu

PASIR PUTIH: Dianggarkan hampir 15,000 tetamu akan menghadiri majlis menyambut menantu yang diadakan pelakon popular, Wan Hafizol Wan Omar atau lebih dikenali Fizo Omar, 28, dan isterinya, Mawar Abdul Karim, 24, di kediamannya di Bukit Jawa, di sini, esok.

Fizo berkata sempena majlis bersejarah itu juga, pihak pengantin lelaki menumbangkan 10 lembu, tiga kambing dan 1,000 kilogram (kg) ayam untuk dihidangkan dalam majlis yang diadakan di rumah ahli keluarganya itu. 

Katanya, dalam majlis itu, dua gerai burger bakar `Hot Burger' milik syarikatnya turut disediakan untuk diberikan secara percuma kepada tetamu yang hadir.


"Saya menjangkakan kehadiran tetamu kali ini meningkat dua kali ganda berbanding di Pulau Pinang minggu lalu. Untuk itu persiapan rapi harus dilakukan supaya majlis ini berjalan lancar," katanya.

Fizo berkata, untuk penyediaan makanan, pihaknya menggunakan khidmat katering dan juga mengadakan gotong-royong dalam kalangan ahli keluarga.

"Saya sendiri turut menyediakan kambing golek untuk dihidangkan kepada tetamu," katanya.

Sebelum ini, katanya, dia pernah berhasrat untuk mengadakan majlis perkahwinan di padang bola sebagai simbolik minatnya terhadap bola sepak.

"Tapi selepas berfikir dengan mendalam, saya fikir lebih baik majlis diadakan di rumah kerana ia lebih mudah," katanya.

Katanya, sambutan majlis menyambut menantu ini, pihaknya membuat persiapan rapi sejak minggu lalu termasuk mengadakan pelbagai gimik untuk memeriahkan majlis. 

"Antara gimik yang kita akan adakan termasuk konvoi lebih 100 motosikal berkuasa tinggi akan mengiringi Mawar dan rombongan keluarganya dari Hotel Perdana di Kota Bharu.

"Selain itu paraglider turut digunakan dan pada waktu malam kita akan adakan pesta bunga api," katanya.

- Harian Metro

Sana-Sini Gempak : Pikap misteri bikin kecoh

Bukit Kayu Hitam: Kehadiran sebuah kenderaan pikap yang mencurigakan di depan Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, apabila ia disyaki dipasang bahan letupan hingga menimbulkan suasana panik dalam kalangan orang ramai yang melalui pintu sempadan Malaysia-Thailand, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, pelancong yang mahu memasuki negara ini dan negara jiran tidak berani menggunakan laluan berhampiran pikap berkenaan kerana menyangka ada bom dalam kenderaan itu. 


Pasukan keselamatan hanya membuka satu laluan untuk kenderaan dan pejalan kaki bagi mengelak orang ramai menghampiri kawasan itu untuk keselamatan.

Difahamkan, pikap bernombor pendaftaran negara jiran itu diletak 50 meter dari pintu sempadan Malaysia-Thailand itu sejak awal pagi semalam, dan lebih mencurigakan apabila cermin tingkapnya gelap.

Berikutan itu, sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Unit Anjing Pengesan (K-9) dan Unit Pemusnah Bom (UPB) dikerah ke lokasi untuk membuat pemeriksaan. - Harian Mtero